Keratan Akbar : BERITA MINGGU

Sabtu 29 September 2007/ 17 Ramadan 1428

Seri Paduka Penaung Persekutuan Pengakap

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam berkenan menjadi penaung Persekutuan Pengakap Malaysia bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Baginda juga berkenan untuk memberi anugerah tertinggi kepada pengakap remaja, iaitu Sijil Pengakap Diraja yang ditandatangani baginda sendiri sebagai penaung Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan Raja-Raja Melayu, penaung pengakap negeri. Perkenan itu dinyatakan Seri Paduka kepada Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh, pada majlis menghadap di Istana Terengganu di sini, semalam.

Turut menghadap Anggota Tertinggi PPM itu Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Kolonel Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar; Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Abdul Shukor Mohsin dan Setiausaha Agung yang juga Ketua Setiausaha Eksekutif PPM, Mohd Zaki Nurud-Din. Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Shafie berkata, perkenan Seri Paduka menjadi penaung dan menganugerahkan Sijil Pengakap Diraja adalah pengiktirafan kepada PPM, khususnya di Wilayah Persekutuan. Katanya, sijil itu hanya diberi bagi mereka yang lulus beberapa ujian kepengakapan PPM.


"Jika tidak ada halangan, anugerah itu akan dimulakan tahun depan," katanya. Beliau berkata, PPM juga sedang mengambil langkah ke arah membentuk gabungan Persekutuan Pengakap Asean bagi mengukuhkan kerjasama badan itu di rantau ini. "Kita sudah berbincang dengan semua Pesuruhjaya Pengakap Asean dan mereka menyatakan persetujuan membentuk gabungan itu. "Perkara ini pernah dibincang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhiyono di Jakarta, beberapa bulan lalu ketika beliau menerima pingat tertinggi pengakap Indonesia. "Kita juga sudah memaklumkan kepada Sekretariat Asean di Jakarta berhubung perkara itu (pembentukan Persekutuan Pengakap Asean)," katanya. Mohd Shafie berkata, Raja Sweden selaku Presiden Kehormat Yayasan Pengakap Sedunia, Karl Gustav XVI, juga akan menghadap Tuanku Mizan pada 3 Oktober ini, bagi membincangkan aktiviti pengakap di negara ini. Sementara itu, Kamaruddin berkata, PPM mensasarkan menjelang 2010, persekutuan itu akan mempunyai sejuta ahli dan menjadi antara badan kerajaan yang akan mempelopori program untuk keamanan sejagat. Katanya, ketika ini ada kira-kira 26 juta ahli pengakap di 166 negara termasuk 250,000 di negara ini.

0 comments:

Post a Comment