Pengakap Udara Johor : ST Kluang jadi kebanggaan

Tahniah buat pengakap udara yang terlibat..


Petikan daripada akhbar Utusan Online
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm



ARKIB : 10/04/2009
ST Kluang jadi kebanggaan

Oleh JAAFAR AHMADutusanjohor@utusan.com.my

ANGGOTA-anggota Unit Pengakap Udara bergambar bersama pemimpin mereka selepas majlis Penyampaian Sayap Kehormat di Sekolah Menengah Tinggi Kluang, baru-baru ini. - UTUSAN/JAAFAR AHMAD

KLUANG 9 April - Pasukan Pengakap Malaysia bergerak selangkah lagi apabila berjaya menubuhkan Unit Pengakap Udara dengan Sekolah Menengah Tinggi Kluang (STK) Johor menjadi skuadron pertamanya (Skuadron 01 Kluang).
Ditubuhkan pada Februari 2008, STK kini menjadi pusat dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan kegiatan Pengakap Udara di negara ini.

Unit itu kini mempunyai 180 ahli setelah tiga lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing dan Sekolah Sains Sultan Iskandar, Mersing turut menubuhkannya.
Penubuhannya selaras dengan langkah kerajaan untuk menggalakkan golongan remaja terutama pelajar agar meminati bidang aeroangkasa yang kini diperluaskan ke seluruh negara.

Idea menubuhkan Unit Pengakap Udara itu dicetuskan oleh seorang juruterbang anak tempatan yang juga seorang pengakap, Kapten Anand J. Samuel, 40, beberapa tahun lalu dan dipersetujui Pesuruhjaya Pengakap Malaysia.
Ekoran penubuhan unit itu, Anand yang kini berkhidmat sebagai pengurus operasi penerbangan dengan sebuah syarikat penerbangan di luar negara dilantik Pengakap Malaysia sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Udara).

Juruterbang berasal dari Kulim, Kedah itu berkata, sebagai pesuruhjaya udara beliau bertanggungjawab menggerak dan menyelaraskan segala aktiviti unit itu bagi memastikannya berfungsi dengan lebih tersusun. "Ketika ini kami mempunyai 18 pemimpin termasuk beberapa Kelana Udara yang membantu menggerakkan unit ini," katanya selepas majlis Penyampaian Sayap Kehormat kepada enam pemimpin Pengakap Udara, di STK baru-baru ini.
Penerima tersebut ialah Megat Mohd. Nizar Abdul Rahman (STK), Hasbullah Jelani, Mohd. Sahril Suid, Kamis Hasan (Pesuruhjaya Pengakap Mersing), Mohd. Haizal Faris Jaafar (Kelana Udara) dan Muhammad Akmal Ismail (Kelana Udara).

Menurut Anand, seperti pengakap darat dan laut, anggota Unit Pengakap Udara juga perlu mengikuti ujian berdasarkan sukatan pelajaran yang ditetapkan bagi melayakkan mereka mendapat Lencana Udara Kelas Kedua dan Lencana Udara Kelas Pertama. Beliau berkata, ujian kelas kedua membabitkan pelajaran undang-undang Udara, Asas Penerbangan dan Perhubungan Radio, manakala kelas pertama pula ialah Terminologi Pesawat, Meteorologi, Navigasi dan Had Prestasi Manusia. "Kesemua 180 anggota Unit Pengakap Udara termasuk 80 dari STK telah lulus kedua-dua ujian dan telah menerima lencana masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk melaksanakan beberapa aktiviti dengan membabitkan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang berpangkalan di Kem Mahkota, Kluang. Menurutnya, jika diluluskan aktiviti itu akan dilaksanakan tahun ini dan beberapa aktiviti lain pula akan menyusul. "Kami berharap menerusi aktiviti ini akan meningkatkan lagi semangat pelajar untuk mendalami bidang aeroangkasa dan seterusnya menjadi juruterbang atau angkasawan," katanya.

Selain itu, pembabitan golongan remaja dalam Unit Pengakap Udara juga boleh menghindarkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah termasuk penyalahgunaan dadah, katanya. Anand melahirkan penghargaan kepada semua pemimpin dan sekolah menengah yang telah mengambil inisiatif menubuhkan unit tersebut di tempat masing-masing. "Saya berharap unit ini akan terus berkembang di seluruh negara tidak lama lagi sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam jurusan aeroangkasa," katanya.


Petikan daripada Kosmo Online

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Komuniti_Kita&pg=kk_05.htm

Enam pemimpin Unit Pengakap Udara terima lencana
PEMIMPIN dan anggota Unit Pengakap Udara bergambar beramai-ramai di Sekolah Menengah Tinggi Kluang baru-baru ini.
PENGIKTIRAFAN. Seramai enam pemimpin Unit Pengakap Udara menerima lencana masing-masing pada majlis penyampaian Sayap Kehormat pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Tinggi Kluang (STK), Johor baru-baru ini.

Unit Pengakap Udara ditubuhkan pada Februari tahun lalu oleh Pasukan Pengakap Malaysia dengan STK menjadi skuadron pertamanya (Skuadron 01 Kluang). Idea penubuhan unit tersebut datang daripada seorang juruterbang tempatan yang juga merupakan seorang ahli pengakap, Kapten Anand J. Samuel. Menurut Anand, penglibatan remaja dalam Unit Pengakap Udara boleh menghindarkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah.

0 comments:

Post a Comment