Kontinjen PPM Johor Menyertai Jambori Negara Islam Antarabangsa

Tarikh : 14 hingga24 Ogos 2008
Tempat : Kem Pengakap Melaka

Seramai 38 orang pemimpin kelana daerah Kota Tinggi telah pun menyertai jambori ini. Perasmian Jambori Islam Antarabangsa akan disempurnakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia pada 20 Ogos 2008, (Rabu) jam 2.00 ptg. bertempat di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka.

Semua ahli Pengakap dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis.


Selamat berjambori kepada semua peserta, dan semoga selamat disepanjang perjalanan pergi dan kembali nanti.

SETEM 100 TAHUN PENGAKAP MALAYSIA

12 Ogos 2008

POS MALAYSIA KELUARKAN SETEM KENANG-KENANGAN MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-100 PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA

KUALA LUMPUR, Selasa – Pos Malaysia akan mengeluarkan Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama sempena memperingati Ulang Tahun ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia. Setem Kenang-Kenangan tersebut akan memaparkan imej-imej yang berkaitan dengan identiti Persekutuan Pengakap Malaysia.

Kegiatan berpengakap merupakan suatu kaedah pendidikan dan latihan bagi pelajar-pelajar sekolah di masa kini dan sebagai aktiviti kokurikulum yang amat diminati. Menerusi kegiatan berpengakap, pelbagai perkara dapat dipelajari diantaranya kepimpinan, bekerja secara berkumpulan (sistem berpatrol), kemahiran, minggu kerja, permainan dan nyanyian. Kepelbagaian kegiatan dan aktiviti ini telah menimbulkan minat yang mendalam dikalangan ahlinya dengan menjalani beberapa ujian kemahiran dan ilmu pengetahuan. Kejayaan yang diperolehi itu diktiraf dengan pemakaian lencana dan anugerah yang di perakukan oleh para Pemimpin Pengakap mereka. Diantara anugerah yang tertinggi itu ialah Anugerah Lencana Pengakap Raja. Anugerah ini diberikan kepada Ahli Pengakap yang telah menjalani latihan dan kemahiran semasa di peringkat sekolah menengah lagi. Sijil Anugerah Pengakap Raja ini turut mendapat perkenan dan ditandatangani oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan-Sultan dan Raja-Raja negeri-negeri.

Logo Sambutan Ulangtahun Ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang dibentuk adalah bercirikan prinsip asas Pergerakan Pengakap Sedunia dengan tema Satu Dunia Satu Persetiaan.

Nombor satu yang tertera di logo tersebut melambang PPM sebagai sebuah pergerakan yang unggul yang berteraskan pendidikan dan kemahiran ilmu pengetahun. Emblem Persekutuan Pengakap Malaysia yang diapit oleh Emblem Pergerakan Pengakap Sedunia dan kibaran Jalur Gemilang melambangkan Persekutuan sentiasa mendukung dan menjalinkan hubungan yang padu dalam merealisasikan pembangunan pergerakan Pengakap di Malaysia bertepatan dengan misi dan visi Pengakap Sedunia serta selaras dengan pembentukan wawasan negara. Ilustrasi burung melambangkan kesepaduan pergerakan Pengakap dalam merealisasikan rancangan pembangunan berterusan Persekutuan Pengakap Malaysia.

“Sepanjang 100 tahun penubuhan, sejarah Persekutuan Pengakap Malaysia berkait rapat dengan sejarah Malaysia. Adalah menjadi kebanggaan buat Pos Malaysia Berhad untuk mengeluarkan Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama ini bagi meluahkan rasa penghargaan kami terhadap usaha berterusan Persekutuan Pengakap Malaysia dalam memupuk sikap disiplin, kerja berpasukan dan kepimpinan di kalangan anggotanya,” kata Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pemangku Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad.

“Kami berharap orang ramai dapat bersama-sama memberi penghargaan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia di atas segala sumbangannya kepada rakyat Malaysia dengan mendapatkan setem-setem dan Sampul Surat Hari Pertama ini,” tambah Datuk Abu Huraira lagi.

Setem-setem tersebut, berukuran 40mm X 30mm, dicetak sebanyak 20 setem sehelai di atas kertas tera air SPM bersalut fosfor dan boleh didapati dalam tiga denominasi seperti berikut:

* 30sen : Permulaan Berpengakap (1908) - Pembacaan Peta

Pembacaan Peta merupakan satu latihan survival dan navigasi yang diperkenalkan seawal tahun 1908. Menerusi ilmu kemahiran ini ahli pengakap dapat mempelajari keadaan sekitar, rupa bentuk muka bumi yang berbagai. Kemahiran ini juga dapat dipraktikkan dengan lebih efektif lagi apabila ahli Pengakap menjalankan aktiviti pengembaraan, ekspedisi dan penerokaan di sesuatu tempat.

* 50sen : Era Pembangunan (1957-1987) – Titian Monyet

Titian Monyet merupakan salah satu aktiviti merentas halangan dan kegiatan yang boleh membina keyakinan diri dan nilai-nilai murni dikalangan ahli Pengakap. Latihan yang diperkenalkan kepada ahli-ahli Pengakap ini adalah sebagai satu wadah dalam pembentukan jati diri dan sahsiah yang cemerlang dengan menilai tahap kemahiran dan psikologi di dalam diri.

* RM1.00 : Pengakap Masa Kini (1988-2008) – Aktiviti Air

Kepelbagaian aktiviti seperti berkayak, berenang dan menyelam yang diperkenalkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia menerusi Unit Pengakap Marin telah menarik lebih ramai lagi penyertaan ahli-ahli pergerakan Pengakap di seluruh negara. Menerusi aktiviti seperti ini ahli-ahli Pengakap lebih yakin lagi dalam menjalankan latihan dan kegiatan di air. Kecenderungan latihan ini turut diiktiraf dengan latihan progresif Bronze Medallion dan Bronze Cross oleh Persatuan Penyelamat Nyawa Kebangsaan. Unit Pengakap Marin turut membentuk Unit Penyelamat dan Pengawal Pantai yang dipelopori oleh Pasukan Kelana.

Sampul Surat Hari Pertama dijual pada harga 30 sen setiap satu dan boleh didapati di semua pejabat pos. Folder berharga RM 5.50 hanya terdapat di pejabat-pejabat pos yang terpilih sahaja.

Pengumpul setem digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli SODA (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran. Selain itu, pelanggan juga kini dapat menikmati lebih kemudahan online menerusi Philately Online di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai serta memeriksa baki akaun SODA, serta mengemaskinikan butir-butir peribadi mereka.

Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.pos.com.my atau kunjungi pejabat pos terdekat atau Bahagian Setem dan Filateli di Tingkat 1, Bangunan Pelabat Pos Besar, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur. Hubungi 03-2275 6569 atau e-mel filateli@pos.com.my untuk mendapatkan keterangan selanjutnya.

TAKZIAH BUAT LAN SEKELUARGA

Tarikh : 2 Ogos 2008
Hari : Sabtu



Bapa kepada saudara kita (kelana D Pontian), telah kembali ke rahmatullah. Marilah kita bersama-sama sedekahkah surah Al-Fatihah kepada arwah bapa Lan, dan berdoa semoga roh almarhum bapanya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beramal soleh. Insya'Allah.

Al-Fatihah.